Tip Penyediaan Makanan Laut



Tip Penyediaan Makanan Laut 

Kita sering berfikir dua atau tiga kali untuk menghidangkan makanan laut atau pun tidak, hanya kerana proses membersih dan menyiang yang agak rumit. Tapi, tahukah anda bahawa menyediakan makanan laut adalah sangat mudah jika betul caranya dan tidaklah merumitkan? Hidangan ini juga hanya memerlukan sedikit tenaga daripada yang sepatutnya!

Mulakan penyediaan dengan langkah mudah ini.

Tips Untuk Menyiang Ikan

1. Mula-mula, cuci ikan dengan menggunakan air sejuk yang mengalir untuk menghilangkan lendir. Gunakan pisau yang tajam untuk memotong kedua-dua belah sirip ikan.

2. Jika ikan mempunyai sisik, halakan bilah yang tumpul menghala badan ikan pada sudut 45-darjah dengan bilah yang tajam menghala anda. Pastikan pisau tadi melawan arus sisik ikan dan lurutkan pisau untuk membuang sisik ikan. Lakukan sehingga badan ikan terasa licin dan tiada sisik lagi.

Nota:  Gunakan sarung tangan getah semasa proses membuang sisik untuk cengkaman yang lebih baik dan mengelakkan jari anda daripada terluka terkena sirip ikan yang tajam.

3. Tekan mata pisau anda ke dalam lubang yang terdapat di hujung sirip. Kemudian, belah sehingga ke tulang rahang ikan.

4. Setelah selesai membelah badan ikan, keluarkan isi perut ikan menggunakan tangan anda.

5. Akhir sekali, cuci bahagian dalam ikan dengan menggunakan air sejuk yang mengalir.

Tips Mengopek Udang Menggunakan Tangan

1. Cabut kaki udang sehingga tertanggal.

2. Koyakkan kulit udang dari bawah dengan menggunakan ibu jari dan teruskan mengopek.

3. Anda boleh mencabut atau membiarkan bahagian ekor udang. Jika anda memilih untuk mencabut, cubit ekor udang dan tarik dengan perlahan.

Tips Menyiang Udang Menggunakan Gunting Dapur 

1. Gunting kulit udang dari bahagian atas dan berhenti sebelum sampai  ke bahagian ekor.

2. Kopek kulit udang dan buang.

3. Anda boleh mencabut atau tidak bahagian ekor udang. Jika anda memilih untuk membuang, cubit ekor udang dan tarik dengan perlahan.

Tips Membuang Urat Udang

1. Belah bahagian belakang udang menggunakan pisau bermula dari bahagian atas dan berhenti sebelum sampai ke bahagian ekor.

2. Sesetengah udang mungkin tidak mempunyai urat. Jika ada, gunakan pisau untuk menarik urat udang tersebut.

Tips menyiang ketam

1. Bersihkan keseluruhan badan ketam dengan menggunakan berus di bawah air sejuk yang mengalir.

2. Seterusnya, kopek cangkerang ketam dari bahagian perut dan buangkan. Anda boleh lakukan dengan memegang bahagian tengah cangkerang; iaitu di antara mata ketam.

3. Kemudian, buang insang dan perut ketam.

4. Akhir sekali, anda boleh belah dua ketam tadi dan bilas untuk kali terakhir sebelum dimasak.

Tips membersihkan tiram

1. Bersihkan tiram di dalam air sejuk dan buangkan tiram yang cangkerangnya sudah terbuka.

2. Untuk elakkan tangan daripada terluka, balut sebelah tangan anda menggunakan tisu dapur untuk memegang tiram supaya tidak terlepas.

3. Halakan mata ‘shucking knife’ (pisau khas menyiang tiram) di bawah mulut tiram, dan umpil sambil menekan pisau sehingga mulut tiram terbuka.

4. Belah sendi tiram dan potong otot yang menyokong cangkerang atas tiram dan buangkannya.

5. Potong otot tiram yang melekat di bahagian bawah cangkerang pula untuk mendapatkan isi.

Tips membersihkan kekapis (scallops) 

1. Letakkan kekapis (scallops) di atas papan pemotong dengan permukaan yang rata menghala ke bawah. Umpil cangkerangnya dengan menggunakan mata pisau.

2. Kupas cangkerang sehingga habis terbuka. Gunakan sudu untuk mengeluarkan isi kekapis (scallops) tadi.

3. Bersihkan sebarang kotoran yang melekat pada isi kekapis (scallops) sehingga isinya kelihatan putih bersih.

4. Bilas kekapis (scallops) dengan menggunakan air sejuk yang mengalir.

Tips membersihkan Kepah (Clams)

1. Sental cangkerang kepah (clams) menggunakan berus dapur kasar.

2. Balut tangan anda dengan tuala dan pegang kepah.

3. Gunakan pisau khas kepah (clams) dan umpil cangkerang. Letakkan bekas di bawah untuk menadah jus daripada meleleh.

4. Umpil sekali lagi cangkerangnya untuk memisahkan bibir kepah (clams).

5. Letakkan kepah di antara jari telunjuk anda semasa anda mengumpil cangkerang sehingga habis terbuka.

6. Tarik bahagian atas cangkerang dan cabut cangkerang itu.

7. Gunakan pisau untuk memotong isi kepah daripada ototnya.

8. Letakkan isi dan jus kepah di dalam bekas.

*Nota: Jika anda tidak mempunyai pisau khas kepah (clams knife), gunakan pisau yang nipis, pendek dan tumpul bilahnya. Jangan gunakan pisau dapur yang biasa.
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment